'Isteri Aku Dah Tak Cantik, Makin Selekeh'
Maafkanlah isterimu dan fahamilah mereka jika mereka sudah tidak cantik, selekeh, mula menjerit-jerit, asyik marah-marah, selalu mengadu sakit-sakit dan layanan mereka tidak sempurna.
Seorang suami mengadu keadaan isterinya yang begitu, saya kata, "Cuba kita uruskan anak-anak seminggu seorang diri. Hanya Allah saja yang tahu bagaimana rupa dan sifat kita agaknya,".
Mereka menjadi begitu kerana mereka bekerja tanpa cuti. Mereka kerja 24 jam sehari, tidak termasuk isteri ang bekerja. Tidur mereka tidak pernah sempurna, makan mereka juga tidak pernah sempurna. Terutamanya ibu-ibu muda yang anak-anak mereka masih kecil. Mereka turut mengerah tenaga mencari rezeki untuk keluarga.
Mereka tiada sesiapa lagi dalam hidup melainkan suami. Jika berjaya rumahtangga, orang kata "untung awak dapat suami baik,". Jika gagal, ibu ayah marah anak perempuan sendiri yang tidak pandai menjaga suami.
Dari awal pagi kemas rumah, siapkan suami dan anak-anak. Beli atau sediakan sarapan. Uruskan anak-anak ke sekolah dan hantar ke taska dengan pelbagai karenah anak-anak dan suami.
Tiba saja waktu habis bekerja, mereka cepat-cepat balik ke rumah kerana mahu menyiapkan makan minum suami dan anak-anak. Rumah pula bersepah, kena kemas rumah lagi. Lepas itu kena mandikan anak-anak pula, selain dari membantu mereka menyiapkan kerja sekolah.
Duit gaji yang baru dapat digunakan untuk beli barang-barang dapur sementara menunggu duit gaji suami.
Bila suami balik, kadang-kadang anak seorang lepas berak, seorang bergaduh dari tadi. Tinggi suara terus cakap dengan suami dengan muka yang masam kerana anak-anak.
Banyak yang hendak diceritakan kerana ini teman sehidup semati. Tersilap mula ayat atau nada. Tak sempat cantik-cantik, tak pasal-pasal suami terasa dan marah juga kerana penat. Suami terus naik tidur atau tengok tv atau keluar dari rumah.
Isteri rasa sedih dan bersalah lalu menangis dan menangis. Kadang-kadang bila tengok gambar kenangan dengan suami, buka ceramah atau kata-kata motivasi untuk pulihkan semangat.
Terus bersemangat dan berdoa, meneruskan urusan rumahtangga kerana Allah dan suami. Terus berlari siap-siap nak melayan suami. Tiba-tiba anak-anak pula menangis tak mahu tidur. Seorang lagi bila nak tidur, teringin nak makan pula, selepas itu berak. Yang si kecil pula menangis.
Suami pun sangat penat di tempat kerja mengharapkan dapat bermanja dan bergurau dengan isteri tetapi tidak dapat berbuat demikian. Lalu suami memendam rasa marah dan dibawa terus ke tidur.
Isteri sepanjang malam terasa bersalah. Itulah seorang isteri dalam merajuk dan sedih tidak dapat berehat dan terus menerus menguruskan rumahtangganya sehingga habis usia. Tetapi mereka ikhlas kerana Allah, itulah ibu kita dan ibu kepada anak-anak kita.
"Khadijah RA tidak pernah mengeluh di sepanjang hidupnya. Itulah wanita yang sentiasa manis mukanya walaupun segalanya dikorbankan demi agama,"/
Saya selalu meminta isteri saya berdoa agar bertemu dengan wanita ini di syurga nanti. Sebab itu bila kita lihat ayah-ayah kita selalu cool saja, tidak kisah ibu membelel, mereka sebenarnya tahu susah senang isterinya, mereka faham.
Sayangilah isteri kita, maafkanlah mereka. Bantulah mereka di dalam urusan rumahtangga, bersama-sama buat kerja rumah. Bantulah sikit-sikit,
Jika kita nampak orang angkat barang banyak, sebagai manusia kita akan menghulurkan pertolongan. Kita tengok kerja orang berat, kita terasa malu nak duduk.
Sekali sekala bawalah isteri bercuti dan rehatkanlah mereka. Beri cuti, layan mereka seperti permaisuri sekali sekala. Mereka menguruskan rumahtangga tanpa gaji, hanya kerana amanah mereka sebagai seorang isteri dan ibu.
Jadilah pendengar sedih dan sayangilah mereka. Mereka bukan miliki kita tetapi amanah dari Allah untuk kita pimpin masuk ke syurga. Duduk rehat bersama-sama membaca Al-Quran. Solat tahajud, doa, baca hadis Nabi saw.
Itulah kehidupan rumahtangga, saling memerlukan dan melengkapi masing-masing. Ya Allah, bahagiakanlah hati ibu dan isteri di luar sana. Ampunkanlah segala dosa mereka dan berikanlah mereka syurga yang tinggi.
Saya sayang ibu dan isteri saya kerana Allah.
loading...
Post a Comment